Thursday, May 19, 2011

PENCURI ITU





Bulan purnama menerjah tiba. Jam menunjukkan pukul 12.30 pagi. Sepatutnya, Badiuzzaman telah tidur pada waktu ini. Tetapi ada satu kejadian yang meganggu fikirannya. Kejadian pada petang tadi.

‘Kaukah pencuri itu, kenapa kau..kenapa?’..Badiuzzaman menanya diri sendiri seolah sukar menerima hakikat kejadian. Tingkap bilik tidurnya dibuka, hembusan angin lembut menerpa masuk, mengalunkan rambutnya yang sedia indah. Dia memejam mata, hatinya rungsing, akalnya ligat berfikir.

Ibunya terdengar bunyi tingkap dibuka, bimbang sesuatu yang buruk berlaku, ibunya pun meluru masuk ke bilik Badiuzzaman. Tiada apa yang berlaku, cuma kelihatan Badiuzzaman termenung mengadap ke tingkap.

“Kenapa dengan anak ibu ni, dah tengah malam ni?”, ibunya bertanya lembut sambil mengusap kepala Badiuzzaman. “Ada seseorang telah mencuri barang saya, barang yang sangat berharga”, Badiuzzaman memberitahu.

Ibunya terkejut. “Siapa?, barang apa?, Bernilai ka?!”, ibunya bertanya kembali, tetapi kali ini Badiuzzaman memilih untuk berdiam diri. Dia belum bersedia untuk mendedahkan rahsia sebenar. Bukannya apa, Badiuzzaman merasakan tidak adil menghukum pencuri itu bahkan mungkin inilah kali pertama pencuri itu mencuri. Mungkin juga kalau diberitahu, tiada siapa yang akan mempercayainya.

Pencuri itu seorang gadis yang baik. Ya, sangat baik, beberapa kali pertemuannya dengan gadis tersebut secara langsung maupun tidak langsung menunjukkan gadis itu seorang yang solehah. Bahkan dalam salah satu program yang pernah dijalankan bersama menunjukkan gadis itu seorang yang bersopan santun dan sangat menjaga akhlaknya.

TETAPI, kejadian pada petang itu sungguh tidak disangka Badiuzzaman. Hanya dia yang tahu..hanya dia, “Kenapa kau..kenapa?!”, sekali lagi pertanyaan ini singgah di fikiran Badiuzzaman.

Sejak kejadian tersebut, hampir setiap malam Badiuzzaman tidak dapat melelapkan mata. Ada rahsia besar yang disimpannya. Apabila matanya mula terlelap, gadis itu datang ke dalam mimpinya seolah berkata “apakah kau tega menghukum aku, wahai jejaka yang budiman, aku tidak bersalah”.

Ibu Badiuzzaman sedar anaknya tengah menghadapi masalah, muka Badiuzzaman kelihatan pucat sedikit.

Ibunya bertanya, ‘kenapa anak mak pucat ni, tak cukup tidur?”. Biasa saja, badan tak berapa sihat”, Badiuzzaman memberi alasan.

Mandi serasa tidak basah, makan tidak lalu. Badiuzzaman kelihatan tidak bermaya. Ada sesuatu yang besar bermain di fikirannya.

Ketika sarapan pagi, di meja makan, ibunya bertanya kembali

“Man, ceritakan pada ibu, siapakah gerangan pencuri yang tega membuat mu begini?, barang apa yang dicurinya?, biar ibu ganti, ibu tidak sanggup melihat anak ibu macam ni!”, soal ibunya sambil merenung mata Badiuzzaman. Mata ibunya kelihatan berkaca kaca. Kemudian ada sesuatu yang tumpah dari matanya.

Badiuzzaman masih mendiamkan diri, baginya tidak adil memberitahu ibunya, lalu pencuri itu dijatuhkan hukuman. Ini bukan jalannya, ada jalan lain yang lebih baik. Kemudian Badiuzzaman meminta diri untuk bersendirian di kamarnya.

Badiuzzaman berfikir panjang, kemudian dia berkata dalam hati, “Aku tidak harus membiarkan pencuri ini terlepas”. Tangannya digenggam erat seraya tumbukan kecil menghayun tepat ke meja tempatnya belajar. Matanya kelihatan berkaca kaca.

Badiuzzaman kemudiannya mengadukan hal ini kepada Nuruddin Ali, seorang yang sangat dihormatinya. Seorang Murabbi yang baik. Setelah mendengar penjelasan badiuzzaman, Nuruddin Ali pun mengatur strategi menangkap pencuri tersebut.

Gelisah Badiuzzaman makin meruncing. Makanan yang paling sedap dimasak oleh ibunya -mee sup thai- tidak dijamahnya sedangkan makanan itulah yang paling disukainya sejak kecil.

Belum siap strategi diatur oleh Nuruddin Ali, Badiuzzaman tidak dapat bersabar lagi. Kebenaran harus dibongkar. Realiti harus diketahui. Badiuzzaman tekad untuk tidak melepaskan pencuri itu. Barangnya harus dipastikan selamat.



Badiuzzaman membuka laptopnya. Sebuah lap top kecil berwarna hijau berkilauan jenama Sony Vaio. Laptopnya diangkat dan diletakkan di atas katil. Sambil terbaring, Badiuzzaman menulis sepucuk surat kepada pencuri itu.

Surat itu ditulis dengan teratur, bahasa yang digunakan lembut, tidak dengan nada marah mahupun menuduh. Baginya pencuri juga harus disantuni.

Surat itu dihantar melalui emel, tetapi tidak secara langsung kepada pencuri. Dia tiada emel pencuri tersebut. Surat itu dihantar kepada Nuruddin Ali, minta diperpanjangkan kepada pencuri. “Moga surat ini sampai kepadamu, pencuri”, Badiuzzaman berdoa sambil matanya melihat kepada perkataan ‘sent’ yang tertera di skrin komputer.

Badiuzzaman pun melelapkan mata. Dia merasakan sedikit tenang. Sambil memeluk bantal panjangnya, Badiuzzaman terlena.

” Kring..Kring.Kring..”, jam loceng berbunyi. Jam menunjukkan pukul 4.30 pagi. Bintang Kejora baru bersinar di langit gelap seolah melambai manusia untuk bangun beribadah kepada tuhan. Badiuzzaman lantas bangun, berwuduk dan kemudiannya solat sunat. Sesudah solat dia berdoa, ” Ya, Allah tunjukkanlah aku kebenarannya”.

Sesudah menunaikan solat tahajud, Badiuzzzaman menunaikan solat taubat, kemudian dia membaca Al Quran, sehingga tiba pada surah An-Nur ayat ke 26

.…wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)”. (An Nuur : 26)

Badiuzzaman berhenti pada ayat ini. Menutup mushafnya yang bewarna biru tua. Mushaf bersaiz diari yang berzip. Siap dilengkapi dengan terjemahan ayat. Mushaf keluaran Pustaka Darul Iman. Sambil merenung mushaf, Badiuzzaman beristighfar. Terasa ada noda dosa yang terpalit di hatinya. “Adakah ini dosa?”, sebuah pertanyaan hinggap di fikirannya.

Kemudian, Badiuzzaman bangun dari tikar sejadahnya, melangkah menuju ke masjid bagi menunaikan solat subuh berjemaah. Setelah solat subuh, dia pulang dan membaca mathurat di biliknya sendiri. Dia rasa lebih tenang begitu. Biliknya adalah sumber inspirasinya. Biliknya dihias cantik, ada sebuah meja kecil tempat dia belajar. Meja belajarnya terletak mengadap tingkap. Di luar tingkap kelihatan taman bunga buatan ibunya. Di dinding biliknya terpapar gambar Badiuzzaman dan keluarga. Tersimpan di dalam sebuah frame keemasan tergantung mengadap ke katil tempatnya beradu.



Selesai membaca mathurat, Badiuzzaman membuka lap top nya, kali in lap topnya diletakkan di atas meja tempat dia selalu mengulangkaji pelajaran, tingkap biliknya di buka seraya hembusan angin damai pagi pun meniup mendendangkan irama lagu indah. Wajahnya terasa di belai belai oleh angin yang sejuk.

Ada emel balasan dari Nuruddin Ali, murabbinya. Emel pencuri yang di forwordkan kepadanya. Tertera nama Zahratul Husna. Kiriman balas suratnya tidak panjang namun cukup bermakna.

Pencuri ini sangat jujur. Dia mengaku dia telah melakukannya. Badiuzzaman jadi tertarik dengan keberaniannya mengaku akan kesalahannya. Suratnya tidak panjang tetapi ada satu yang aneh. Di hujung surat Zahratul Husna menulis

“..dia (Badiuzzaman) juga seorang pencuri..”

Badiuzzaman dituduh pencuri. Terang terang dia dituduh pencuri kembali. Membaca emel itu, Badiuzzaman berteriak , “Alhamdulillah”, spontan kalimah hamdalah meluncur dari bibirnya. Di ambil sajadah kesayangannya dan dibiarkan dahinya mencecah sejadah lama. Munajat syukur Badiuzzaman.

Kemudian, dia print surat tersebut seraya berlari anak mendapatkan ibunya. Ibunya tengah mengemas bilik tidur Misbahul Falah, adik Badiuzzaman.

“Ibu, pencuri telah mengaku salah”, sambil menjeling surat di tangannya, “Nah!, ini buktinya”

Ibunya mengambil surat itu dan membacanya. Surat yang tidak panjang tetapi penuh makna buat Badiuzzaman.

” Saya tidak pernah menyangka bahawa saya yang sebegini kerdil dapat mencuri hati seorang jejaka sehebat dia (Badiuzzaman), sebetulnya, dia juga telah lama mencuri hati saya, dia juga seorang pencuri..”

Ibunya memandang Badiuzzaman dengan penuh kasih sayang, sambil merenung tepat ke mata Badiuzzaman, ibunya mengatakan

“Patutlah anak mak jadi kurus, rupanya kehilangan hati!”

TAMAT

Pena Mujahid

6/5/2011


Sunday, May 8, 2011

KEREDHAAN MU

hadis rasulullah :

"Sesungguhnya, jika Allah s.w.t. mencintai sesuatu kaum, maka mereka akan diuji. Andainya mereka redha dengan ujian tersebut, maka baginya keredhaan Allah s.w.t…

-YA ALLAH keREDHAAN MU yang ku dambakan..(T_T) -