-YA ALLAH keREDHAAN MU yang ku dambakan..(T_T) -
Sunday, May 8, 2011
KEREDHAAN MU
-YA ALLAH keREDHAAN MU yang ku dambakan..(T_T) -
Thursday, April 21, 2011
Jangan Sombong Dengan Takdir

Kebelakangan ini saya kerap dihujani panggilan telefon menceritakan pelbagai masalah. Terus terang ada masalah yang diluahkan itu, juga masalah yang saya hadapi sendiri. Saya bukan insan serba baik dan sempurna.
Selalu saya katakan, saya seorang daie yang sedang bermujahadah – berusaha membaiki diri dan usaha itu dikongsi untuk membaiki orang lain. Di kesempatan ini, saya hulurkan tulisan yang saya cuba alirkan dari hati. Dengan doa dan harapan agar bergunalah untuk dijadikan panduan (ataupun sempadan) buat pembaca.
Terimalah kata pengukuhan dan pencerahan ini...
Jangan Sombong Dengan Takdir
Jika hendak dikirakan 'beriman' dengan Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah dirakamkan dalam Al-Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan.
Iblis
Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu... syaitan kecundang kerana tidak dapat menerima takdir Allah.
Takdir yang menentukan Adam dipilih menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada Allah dalam mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini. Mengapa dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah), mengapa dia yang lebih 'senior' dalam ibadah dan hiraki kepimpinan tidak terpilih menjadi khalifah, sedangkan Adam hanya 'pendatang' baru yang diciptakan terkemudian?
Iblis sombong kerana tidak menerima ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang mampu menidak dan meminggirkan takdir? Allah itu Maha Besar, qudrat dan iradatnya tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan, kita akan terhina... seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke neraka... kerana gugur sifat kehambaannya!
Takdir Dan Iman Kita
Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku tidak sebegitu? Kenapa ketua aku orang semacam dia? Kenapa anak aku cacat? Mengapa isteri tersayang aku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha?
Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan iman.
Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar hangus seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini? Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela.
Katakan, "ya Allah... sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hamba-Mu, Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku berbanding diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud pada takdir-Mu."
Takdir Mengatasi Tadbir
Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan.
Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan 'pemberontakan' dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada disedari atau tanpa disedari...
Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa.
Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapai-kapai dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat. Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?
Carilah Hikmah di Sebalik Ketentuan
Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha mencari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa dirinya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.
Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia. Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermaksud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.
Apa Khabar Iman Anda?
Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam erti kata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam hidupnya.
Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.
Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati terubat. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.
Bersangka Baik Dengan Allah
Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan... itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven... yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam? Dan betapa ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang ditangguhkan!
Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan lain-lain.
Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan. Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa dan maksiat dengan mudah.
Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar Allah pasti berlaku. Kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.
Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:
"...Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu." (Surah Al-Baqarah : 216)
Nikmat Allah
Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya. Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya?
Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.
Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, "belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya."
Bila kita benci dengan ujian, ertinya kita belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.
Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.
Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujian-Nya. Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka. Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak melihat hanya 'asbab' (sebab-sebab) tetapi matahati mereka dapat menjangkau 'musabbabil asbab' (penyebab – Tuhan).
Hati mereka berkata:
"Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untukku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah... DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak tahu, kerana ilmuku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang telah memilih ujian ini untuk diriku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah imanku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!"
ARTIKEL INI DI TULIS OLEH :Ustaz Pahrol Mohd Juoi
**************
Tertarik dengan tajuk artikel yang ku ambil dari ILUVISLAM....dan tak sangka kata-kata dalam
artikel nie memang meberi semangat dan kesedaran buat diriku.. mungkin ujian yang ku hadapi
tidak lah berat namun disini ku aku harus bersangka baik dengan ALLAH dan mencari hikmah dari semua ini
semoga ALLAH berikan kekuatan dan kesabaran untuk ku agar dapat melalui segala kemelut yang
melanda diri..insyaALLAH...
Monday, April 4, 2011
MUTIARA KATA
Thursday, March 24, 2011
Cerpen Sahabat Sejati
dihantar oleh : pejai
Hayati mengemas pakaiannya ke dalam "back-pack"nya, sementara menunggu laptopnya "turn-off". Kemudian, dia memperosokkan sahaja laptopnya ke dalam "back-pack"nya. Zuraida, teman sebilik Hayati memasuki bilik sambil membawa secawan kopi yang baunya semerbak sehingga memenuhi atmosfera bilik mereka.
"Awak tak tido umah malam ni ke?" tanya Zuraida.
Hayati sudah mengagak pertanyaan tersebut, lalu tersengih sahaja.
"Huhu.. Sedihnya saya tinggal sorang-sorang lagi dalam bilik malam ni, tak de orang nak tolong segarkan saya kalau mengantuk masa study," Zuraida merengek.
Hayati memakai tudungnya, sambil meniup-niup bucu tudungnya supaya kemas. "Alah awak ni, tiada keupayaan dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Doa la banyak-banyak supaya Allah segarkan awak. Kadang-kadang, saya ni menggalakkan awak tido lagi ade lah."
Zuraida mencebik. "Awak tido rumah sape pulak malam ni?"
"Rumah, err.. rumah.. Huda." Hayati teragak-agak ingin menyebut nama Huda, kerana ini merupakan kali ke 3 dalam minggu itu Hayati bermalam di rumah Huda. Huda merupakan junior kepada Hayati, dia merupakan seorang muslimah yan gmempunyai keperibadian yang tulus, walaupun masih belum memahami tanggungjawab dakwah dan masih belum memahami sepenuhnya erti islam yang syumul.
Sejak Huda baru sampai ke bumi "Down Under" ini, Hayati telah pun menjalinkan hubungan akrab dengannya. Maklumlah, sayanglah sekiranya jiwa yang baik disia-siakan potensinya.
"Awak nak ikut, Zuraida?" Hayati cuba menghangatkan suasana.
Muka Zuraida terus berubah ceria, "Boleh juga!"
Walaubagaimanapun, ada konflik yang berlaku di dalam diri Hayati, dia dapati dalam dia memenangi hati mad’unya, kadang-kadang dia terasakan seperti mengabaikan hak sahabat-sahabatnya yang lain. Walaupun begitu, sahabat-sahabat serumahnya sangat "supportive", dan sering memberi kata perangsang, serta ada kalanya sekiranya Hayati tidak sempat melaksanakan tugas mengikut "duty roster" rumah, pasti ada sahabatnya yang lain akan membantunya, terutama sekali Zuraida.
"Tunggu saya kemas barang saya kejap ye!" kelam kabut Zuraida meletakkan cawan kopinya dan terus mengemas barang serta menyalin pakaiannya.
Hayati dan Zuraida berjalan menuju ke stesen bas.
Zuraida melihat jadual bas, "Pukul 5.30 p.m baru bas sampai, sekarang baru pukul 5.15 p.m"
Hayati mengangguk, "Tak pe lah, kita dok sini dulu sembang-sembang"
Zuraida sengih lagi.
"Awak tau tak…" Zuraida memulakan bicara.
"Tak tau, hehe" Hayati berlawak.
"Tak pe lah.. tak jadi bagitau la kalau cam tu.." Zuraida terus merajuk.
"Alah, awak ni.. Saya gurau je.." Hayati cuba memujuk.
Zuraida memaksa dirinya untuk senyum kembali. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini, dia sangat mudah terasa dengan Hayati. Jauh di lubuk hatinya, Hayati merupakan sahabat yang paling dia sayang di kalangan sahabat-sahabat serumahnya. Mungkin kerana itu dia mudah terasa dengan setiap tindak-tanduk Hayati. Namun begitu, Zuraida merupakan orang yang pandai menyembunyikan emosi di sebalik senyumannya yang kelihatan tenang.

"Awak tau tak, dalam banyak-banyak kawan kita.. Awak la yang paling saya….." belum sempat Zuraida menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran bunyi hon dengan suatu suara kuat.
"Assalamualaikum.. Nak pegi mana tu?" Rupa-rupanya Sufiah. Sufiah "pull-over" kereta kecilnya yang berwarna merah. "Hayati, Zuraida.. Naiklah kereta saye ni. Tak sudi ke naik kereta buruk ni"
"Kami nak ke North Melbourne, are you heading that way as well?" tanya Hayati.
Zuraida yang belum sempat menghabiskan ayatnya, terkejut dengan kedatangan Sufiah. Zuraida tergelak kecil di dalam hatinya, dia terbayangkan Sufiah ibarat Mr Bean yang memandu kereta kumbang. Perbualannya dengan Hayati termati begitu sahaja.
"Come in, come in. Have a ride. I’m heading to Docklands. Boleh drop korang kat North Melbourne." Kata Sufiah.
Dalam kereta, Sufiah memasang lagu UNIC, Sahabat Sejati. Zuraida yang duduk di belakang tiba-tiba membuka bicara, "Yati, ni lagu untuk awak." Hayati senyum, "Terima Kasih". Sufiah pula mencelah, "Saya ni tak de orang nak dedicate lagu ke?". Ketiga-tiga orang sahabat tersebut tertawa.
Zuraidah memandang Hayati yang sibuk berceloteh bersama Sufiah. Zuraida mengalihkan pandangannya ke luar. Lagu terus berkumandang,
"Ku biarkan pena menulis
Meluahkan hasrat di hati
Moga terubat segala
Keresahan di jiwa
Tak pernah ku ingini"
Mungkin Hayati tidak mendapat mesej yang ingin disampaikan oleh Zuraida.
Zuraida sangat bersyukur kepada Allah, kerana mengurniakan seorang sahabat yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Hayati merupakan sahabat fillah yang pertama yang Zuraida kenali. Hayati banyak memberi sokongan kepada Zuraida di dalam pelajaran, maklumlah Hayati pelajar yang cepat tangkap pelajaran. Namun begitu, sejak mereka melangkah ke tahun dua universiti, dan sejak mereka menerima kedatangan adik-adik baru, mereka jarang dapat menghabiskan masa bersama sepertimana dahulu. Zuraida sangat khuatir sekiranya dia ketinggalan, dari segi pelajaran, dari segi dakwah, dari segi tarbiyah, dari segi bilangan mad’u, dari segi segala segi.
Zuraida terus memerhatikan Hayati, ditenungnya sahabat itu puas-puas dan berdoa di dalam hatinya, "Ya Allah terimalah segala amal sahabat ku ini, dan ikhlaskan dia. Dan kuatkan dia sekira dia berasa lemah, dan ikhlaskan dia tatkala dia mengharapkan sesuatu selain Engkau"
Tiba-tiba, Zuraida terasa hatinya sangat lapang. Inilah yang dia mahu rasakan, selama ini perasaannya risau, sedih, bercampur-baur apabila Hayati sudah jarang bersamanya.
Benarlah seperti nasihat Kak Elin, "sekiranya kita ada rasa berat hati dengan seseorang, kita segera doakan kebaikan untuk dia, insya-Allah, syaitan yang cuba hasut kita tu akan lari lintang pukang. Dan malaikat pula akan mendoakan perkara yang sama untuk kita."
Ini membuatkan Zuraida tersedar, bahawa kebergantungan yang mutlak itu terletak pada Allah. Dan sekiranya seorang insan itu tidak diberi penghargaan, dia tetap menjadi seperti pokok. Pokok yang menurunkan buah apabila dibaling batu.
Zuraida mahu berlari seperti orang lain, berlari menuju jannah insya-Allah, sama-sama tabah dan kuat dalam membawa risalah perjuangan anbiya’. Tapi, kadang-kadang, dia letih. Kerana lupa mengukur kapasiti diri. Mungkin kerana terlupa, Allah melihat usaha seseorang, dan bukan natijahnya.
Tapi, menjadi kebiasaan manusia. Sangat mengharapkan hasil positif di depan mata.
Zuraida terkenangkan Nabi Nuh, kisah dakwahnya di dalam Al Quran. Di dalam surah Nuh, Nabi Nuh merintih kepada Allah, beratus-ratus tahun, pagi sehingga malam menyeru kaumnya, tetapi hasilnya, hanya menyebabkan kaumnya semakin jauh daripada Allah.
"Ah, masakan aku yang baru setahun jagung dalam dakwah ini, mudah sangat putus asa ," getus Zuraidah dalam hati.
Hayati melihat "rear-view mirror", ternampak muka Zuraida yang serius.
Hayati membisikkan sesuatu kepada Sufiah, dan Hayati membawa keluar "handphone"nya.
Hayati menaip sms, "Salam, Huda. Maaf akak tak jadi ke rumah awak malam ni. Ada hal sikit. Nanti akak hantar pengganti akak pergi umah awak ye, hehe."
Sufiah membuat "announcement", "Baiklah, kita dah sampai Docklands. Selamat makan aiskrim Dairy Bell, jangan lupa saya."
Zuraida tercengang, Hayati turun dari kereta dan membuka pintu belakang, lalu menarik tangan Zuraida. Zuraida tercengang, "Eh, tadi Sufiah kata dia yang nak ke Docklands." Sufiah terus memecut laju ke destinasi barunya. Kereta kecil merahnya berderum hebat.
"Jom la kita makan aiskrim sama-sama. Dah lama tak "outing" berdua," Hayati mengajak Zuraida.
Zuraida akur sahaja. Dia terasa pelik, kenapa tiba-tiba Hayati tidak jadi pergi ke rumah Huda.
Hayati membeli aiskrim Chocolate Chips, dan mengambil 2 batang sudu kayu, "Jom dok kat tepi jeti tu.."

Hayati mula bicara, "Tadi kat stesen bas, awak nak cakap sesuatu kan…."
Zuraida tersenyum sahaja.
Hayati bicara lagi, "Awak tak boleh tipu saya dengan senyum tenang awak nih…."
Zuraida tersenyum lagi. Tapi, senyuman itu diikuti dengan air mata.
"Tadi saya nak cakap lain, tapi sekarang Allah ilhamkan saya untuk cakap sesuatu yang lain kepada awak," kata Zuraida, matanya berkaca-kaca.
Hayati mengangguk, "Cakaplah.."
"Kalau awak nak masuk jannah, jangan tinggalkan saya." Zuraida berkata sambil menahan air matanya yang semakin laju.
Hayati sangat terharu. Dia tidak pernah terbayangkan bahawa ada orang yang akan berkata begitu kepadanya, Hayati tak tahu nak respon macam mana, sedangkan dia sendiri pun terhuyung-hayang dalam perjalanan mencari syurga Allah.
Maksud sepotong ayat Al Quran, " Di hari akhirat, terputus segala perhubungan kecuali orang-orang bertaqwa. " Sungguh mudah untuk bercakap soal ukhuwah islamiyah. Namun nak menzahirkannya payah, apatah lagi hendak mengukuhkannya di dalam hati.
"Saya tahu Allah beri awak banyak kelebihan berbanding saya, moga Allah melindungi saya daripada hasad dan dengki, dan moga Allah menjauhkan awak daripada ‘ujub dan riya’ ," Zuraidah menghela nafas panjang. Aiskrim Chocolate Chips tidak mampu menarik seleranya.
Hayati terpaku. Dia seakan-akan dapat membaca apa yang dirasai oleh kawannya. Benarlah seperti apa yang dia rasai selama ini, tindak-tanduknya yang banyak mengabaikan hak-hak sahabat-sahabatnya mampu mengundang virus ukhuwah.
"Saya nak minta maaf atas salah silap saya. Saya tau saya banyak tinggalkan awak sorang-sorang. I am lost myself. Kononnya keluar berdakwah tapi, banyak yang lain pula saya abaikan," Hayati mula meluahkan isi hatinya.
Zuraidah berkata, "Saya pun minta maaf, asyik kadang cebik muka. Tapi, tak perlu lah kita mengungkit salah silap kita yang dahulu. Apa yang sudah tu sudah.."
Hayati menyambung, "Betul? Kosong-kosong!"
Zuraidah pula berkatai, "Kosong-kosong!"
"Insya-Allah, kita akan saling mengigatkan. Time kena study, kita pulun habis-habisan. Time kena keluar berdakwah, kita mujahadah sehabis baik, jaga amal fardi.. Kejutkan qiyam, ingatkan supaya puasa sunat!" Hayati mula meng"list-out" perjanjian di antara mereka.
"Kena tunai hak pada semua pihak yang ada hak ke atas kita, kena berlapang dada dan menerima setiap sahabat kita seadanya, saling memperingatkan, walau kita "fastabiqul khairat", mudah-mudahan ada persaingan sihat.. dan last sekali …outing kat charcoal chicken dengan geng rumah dua minggu sekali, hehe.." Zuraida menyambung.
"Lillahi ta’ala!" Zuraida dan Hayati menyebut kalimah "kerana Allah ta’ala" serentak. Mereka tersenyum sesama sendiri.
"Jom makan aiskrim ni dah cair!!" Zuraida menyogok sesudu aiskrim kepada Hayati.
"Hehe.." Hayati tergelak kecil.
"Er… kita nak tido mana ye malam ni?" Zuraida bertanya.
"Hehe.. tak pe, kita tido kat bilik kita yang best tu lah… Sufiah tido kat umah Huda, insya-Allah" jawab Hayati. Zuraida terbayang Sufiah bersama kereta merahnya menuju ke rumah Huda. Sufiah memang seorang sahabat yang "sporting" dan lucu.
Kedua-dua sahabat itu tersenyum. Moga Allah memberkati persahabatan mereka, dan meneguhkan hati-hati mereka di atas jalan dakwah hingga bertemu denganNya. Itulah doa mereka berdua.
Wednesday, March 23, 2011
06 Saat Lafaz Sakinah - Far East.mp3 - 4shared.com - perkongsian dan storan fail dalam talian - muat turun - 06 Saat Lafaz Sakinah - Far East.mp3
Heningnya
Sunyi suasana
Lafaz sakinah bermula
Apa rasa
Diterjemah hanya
Sebak abah tangis ibunda
Adalah aku wali puteriku
Serah kini amanahku ini padamu
Nafkahilah dia curah kasih dan cinta
Lebih dari yang ku berikan kepadanya
Chorus
Dulu esakannya sandar di bahuku
Tangisannya kini ku serah padamu
Bukan bermakna dia bukan milikku
Fitrahnya perlukanmu
Jadikanlah dia wanita syurga
Mengerti benar akan maharnya
Taat itu bukan hanya pada nama
Indah ia pada maksudnya
Ku akur
Akan pesanmu
Puterimu kini amanahku
Iringilah
Dengan doamu
Bahagia kami dari redhamu
Ulang Chorus
***************************************************************************
pertama-tamanya....syukran buat teman yang mendengarkan lagu ini..
pada awalnya dengar lagu nie aku tak minat,just dengar music yang sedap lagu nie..
tapinya bila sahabat ku meminta untuk membaca lirik lagu nie..
syadhunya mendengar bait-bait amanah dan harapan dari seorang ayah kepada seorang pemuda yang akan mengambil alih tanggungjawabnya..
terharu sangat pesanan seorang ayah..bahawanya walaupun di pangkuan suaminya namun dia tetap ingin anaknya ini kekal terpelihara menjadi wanita solehah...
berkali-kali dengar lagu nie dan hayati lagu nie boleh buat airmata mendengar...
Tuesday, March 15, 2011
Ubat kepada malas menurut Islam
Adakah anda merasa malas? Jika benar, cepat-cepatlah berusaha melawan sikap malas. Malas ialah attitude yang negatif wajib dihindari oleh semua orang Islam. Sesetengah kita mungkin tidak dapat melepaskan diri dari sikap ini. Ada yang diuji dengan tahap malas yang keterlaluan, ada yang diuji dengan tahap malas yang sedikit. Apa pun bentuk malas yang ada, hakikatnya malas bukan satu ajaran Islam. Malas menurut al-Quran adalah attitude orang munafiqin. Firman Allah Taala [al-Nisa’ : 140] : Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang). Ibn Kathir menafsirkan ayat di atas : “Ini adalah sifat orang munafikin dalam amalan paling baik dan paling mulia iaitu solat. Apabila mereka hendak solat, mereka solat dengan malas kerana mereka tiada niat, tidak beriman dengannya, tidak takut (khashyah) dan tidak memahami maksud solat”. Oleh itu, jika anda ada sikap malas, cepat-cepat buangkannya kerana ia sifat orang munafik. Orang yang munafik ialah orang yang cuba menipu Allah Taala. Tetapi, bagaimanakah cara hendak buangkan sikap malas? Saya cuba bawakan beberapa kaedah menghilangkan rasa malas menurut al-Quran dan al-Sunnah. Pertama : Doa dan perbanyakkan doa Gunalah senjata utama orang mukmin iaitu doa. Tokoh terkenal, Ibn Qayyim dalam karya beliau al-jawab al-kafi li man sa’ala an al-dawa’ al-shafi, menjelaskan ubat pertama dan kedua untuk mengubati jiwa mukmin ialah berdoa dan bersungguh-sungguh dalam doa. Doa ialan ubat paling mujarab dan bermanfaat untuk mengubati semua bentuk ujian dan penyakit. Antara doa yang diajar oleh baginda s.a.w ialah : اللهم إني أعوذ بك من الهرم والحزن، والعجز والكسل، والبخل والجبن، وغلبة الدين، وقهر الرجال Maksudnya : “Ya Allah, aku berlindung denganMu dari penyakit tua dan kesedihan, dari lemah dan malas, dari bakhil dan penakut, dan kalah dengan hutang dan kekuatan lelaki”. [al-Bukhari] Antara doa Nabi juga : اللهم إني أسألك الثبات في الأمر، والعزيمة على الرشد Maksudnya : “Ya Allah, aku memohon dariMu ketetapan dalam urusan kerja dan keazaman atas hidayat”. Semuanya menunjukkan bahawa doa yang dapat menghalang sikap malas seseorang. Kalaulah Nabi boleh berdoa sebegini, inikan pula kita umatnya. Wajiblah kita mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam semua sunnahnya. Kedua : Lawanlah syaitan dan nafsu Malas sebenarnya berpunca dari syaitan. Syaitan melatih nafsu manusia agar menjadi malas sama ada malas beribadat atau malas menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul.Tidakkah kita pernah mendengar hadis Nabi s.a.w. : يعقد الشيطان على قافية رأس أحدكم إذا هو نام ثلاث عقد يضرب مكان كل عقدة عليك ليل طويل فارقد فإن استيقظ فذكر الله انحلت عقدة فإن توضأ انحلت عقدة فإن صلى انحلت عقدة فأصبح نشيطا طيب النفس وإلا أصبح خبيث النفس كسلان Maksudnya : “Syaitan mengikat atas belakang kepala seseorang kamu ketika ia tidur sebanyak tiga ikatan. Sambil syaitan berkata pada setiap ikatan, ‘malam masih panjang maka tidurlah’. Apabila seseorang kamu terjaga dari tidur, lalu menyebut nama Allah nescaya akan terlerai satu ikatan. Jika ia mengambil wuduk nescaya terlerai satu ikatan lagi dan sekiranya ia solat nescaya terlerailah semua ikatan. Maka ia bangun waktu pagi dalam keadaan rajin cergas serta baik hatinya. Jika ia tidak (melakukan begitu), nescaya ia bangun pagi dalam keadaan buruk jiwanya sambil rasa malas”. Hadis ini menunjukkan bagaimana kita perlu mencegah malas dengan cara yang diajar oleh Nabi s.a.w. Malas itu puncanya datang dari syaitan. Sememangnya syaitan sentiasa mencuba untuk menipu daya dan menyebabkan manusia lalai dari perintah Allah Taala. Ketiga : Carilah ilmu Saya akhiri tulisan kali ini, dengan kaedah ketiga untuk menghapuskan sikap malas. Iaitu timbalah ilmu sebanyak mungkin. Dengan ilmulah seseorang itu menjadi orang yang rajin dan cergas dalam hidupnya. Sebagai contoh, ilmu tentang fadilat dan kelebihan ibadat, menyebabkan seseorang rajin beribadat dengan syarat adanya keyakinan yang kuat tentang apa yang dipelajari. Oleh itu, orang yang mempunyai ilmu berkenaan fadilat solat jemaah, sangat rajin mengerjakan solat jemaah. Orang yang mempunyai ilmu tentang kelebihan dan fadilat solat Duha, akan menjadi rajin dan cergas untuk melaksanakannya. Sebab itu, Rasulullah s.a.w. bersabda : أثقل الصلاة على المنافقين صلاة العشاء وصلاة الفجر، ولو يعلمون ما فيهما لأتوهما ولو حبواً Maksudnya : “Solat paling berat bagi orang munafiqin ialah solat isyak dan subuh. Sekiranya mereka mengetahui apakah (ganjaran) yang ada pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang bersolat walaupun dalam keadaan merangkak”. Lihat kepada kata-kata Nabi : “Sekiranya mereka mengetahui apakah ganjaran”, menunjukkan pentingnya ilmu tentang kelebihan dan fadilat sesuatu ibabdat, kerana ia membantu anda menjadi rajin dan cergas dalam melakukannya. Akhirnya, marilah sama-sama kita bermuhasabah diri sendiri adakah kita masih malas? Sekiranya masih bergelumang dengan malas, ayuhlah kita hilangkan sikap malas yang ada pada diri kita. Janganlah menjadi pengikut syaitan dan nafsu, tetapi jadilah pengikut iman dan akal. Sumber : http://albaruhiyy.wordpress.com/2010/01/25/ubat-kepada-malas-menurut-islam/ |
Friday, February 18, 2011
MUTIARA KATA
Kalau besar yang dituntut dan mulia yang dicari, nescaya banyaklah kepayahan dan kesusahan melaluinya, panjang jalannya dan banyak rintangannya."
-- Imam Al-Ghazali

